Peringatan bersama....

"Wahai anakku, Jauhilah olehmu sifat malas dan banyak mengeluh, kerana sesungguhnya kedua-dua sifat tersebut merupakan kunci dari segala keburukan.

Sesungguhnya jika engkau malas, maka engkau tidak akan mampu melaksanakan kewajibanmu.

Dan jika engkau banyak mengeluh, maka engkau tidak akan sabar dalam melaksanakan kewajibanmu."

(Muhammad bin 'Ali bin al-Husain bin 'Ali bin Abi Thalib)

24 July 2011

Seminar Transformasi Ramadhan @ UKM

2 comments:
Tarikh : 24 Julai 2011 (Ahad)
Tempat : DK 43.101 KTAMS, UKM
Masa : 8 pagi - 2 petang

suasana dalam dewan 101 KTAMS

Alhamdulillah, baru selesai menghadiri sebuah program anjuran bersama Total Success, Synergy Training & Consulting, Iftitah Training & Consultancy dengan kerjasama PMUKM iaitu SEMINAR TRANSFORMASI RAMADHAN (Klik untuk maklumat lanjut)..

Dari jauh sudah kelihatan orang ramai beratur untuk mendaftar, dan setiap orang diberi sebuah file yang mengandungi buku panduan Ramadhan dan nota-nota sampingan.. Bagiku sangat berbaloi dengan bayaran RM50, bukan pada bahan fizikal yang diberi sahaja, tetapi yang utamanya ilmu yang disampaikan oleh panelis-panelis.. fuh~ kalau diikutkan nilai ilmu tersebut di sisi Allah, priceless !!
Tahniah buat mereka yang terlibat dalam mengusahakan program bermanfaat sebegini (ia 'hadiah' terbaik dari Allah bagiku)

Di sini ku ingin berkongsi input yang ku dapat (setakat yang mampu salin masa seminar) sebagai nota peringatan untuk diri sendiri dan juga untuk dikongsi bersama rakan-rakan yang tidak berkesempatan ke sana. Moga bermanfaat, InsyaAllah~

SLOT 1 :: 'Ramadhan dan Transformasi Intelektual' oleh Tuan Fazrul Ismail

Berikut merupakan petikan dari Surah Al-Baqarah (183-197) yang mengkhusus kepada puasa / amalan di bulan Ramadhan ; 
"Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa." (2 : 183) 
"(Puasa yang diwajibkan itu) beberapa hari tertentu. Sesiapa antara kamu sakit atau musafir (haruslah berbuka) dan wajib digantikannya pada hari-hari yang lain. . Orang yang tidak berdaya berpuasa , wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan  kepada orang miskin. Sesiapa yang bersukarela melakukan kebajikan (membayar fidyah lebih daripada yang ditentukan) maka itu lebih baik baginya , dan jika kamu berpuasa adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (2 : 184) 
"Dalam bulan Ramadhan diturunkan al Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu. Sesiapa yang sakit atau musafir (diharuskan berbuka) hendaklah menggantikannya pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. Hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa dan hendaklah kamu mengagungkan Allah kerana memberi petunjuk kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (2 : 185) 
"Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran." (2 : 186) 
"Kamu dihalalkan bersetubuh dengan isteri kamu pada malam puasa. Mereka sebagai pakaian kamu dan kamu pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu mengkhianati diri kamu dan Allah menerima taubat dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu  dan carilah apa-apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kamu. Makan dan minumlah sehingga nyata kepada kamu garis putih daripada garis hitam pada waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga ke malam (maghrib). Janganlah kamu setubuhi mereka (isteri-isteri) ketika beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu hampir. Demikianlah Allah terangkan ayat-ayatnya (peraturan-peraturan) kepada manusia. Semoga mereka bertaqwa." (2 : 187)
- Puasa boleh menjadi perisai bagi orang mukmin - "Asy-Syahadatain" - ketahanan fizikal & intelek, emosi serta spiritual
*tak sempat salin banyak dari beliau*

SLOT 2 :: 'Transformasi Fizikal' oleh Dr. Mahathir Mohamed (err, bukan yang ex-PM ya)

Dr. Mahathir Mohamed sedang menyampaikan ilmu kedoktoran
Objektif

  • mengingati kebesaran Allah
  • mengenalpasti masalah sewaktu berpuasa dan cara mengatasinya
  • mengetahui kesan positif pada sistem badan
  • mengetahui teknik terbaik transformasi fizikal pada bulan Ramadhan

"Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa." ~Surah Al-Baqarah, Ayat 183~
"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? " ~Surah Fusshilat, Ayat 53~
Kesan positif puasa pada tubuh ;

  • menurunkan berat badan dan tekanan darah
  • menstabilkan paras gula dalam darah
  • meningkatkan sensitiviti pada insulin
  • merehatkan dan membaikpulih usus (sistem penghadaman)
  • meningkatkan proses nyahtoksik hati
  • menambah jangka hayat

*Organ Hati penting kerana ia organ pertama yang menerima kesan selepas makan

Masalah fizikal ketika puasa (dan penyelesaian) ;

  1. Kembung perut > elakkan makan berlebihan / banyak dalam satu masa!
  2. Sembelit > minum air lebih sewaktu berbuka dan lebihkan pengambilan serat dalam hidangan
  3. Sakit kepala > kurangkan kebergantungan pada air kopi (elak ketagih / caffein shortage)
  4. Kejang otot > lebihkan pengambilan Kalsium, Magnesium dan Potassium (banyak dalam sayur & buah-buahan)
  5. Gastrik > kurangkan makanan berasid, baiki rutin pemakanan
  6. Letih / lesu
  7. Kurang kandungan gula

Struktur Perut ;

  • makanan dihadamkan sepenuhnya dalam tempoh 4 jam
  • nilai keasidan sekitar 2-3 pH (Subhanallah, paras asid yang begitu tinggi namun tak pernah perut itu rosak, kerana adanya lapisan mukosa yang melindungi dinding perut daripada terhakis. Namun kekurangan mukosa yang disebabkan oleh rutin pemakanan tak seimbang boleh menjadi punca seseorang menghidapi gastrik)
  • gastrik terjadi apabila terlalu banyak makan pada waktu tertentu, atau sudah biasa makan pada waktu tertentu (setiap kali makanan masuk dalam perut, asid akan terus dirembeskan. Tetapi apabila sudah biasa makan pada waktu tertentu dan pada suatu hari kita tak makan waktu itu, asid tetap keluar dan itu yang buat sakit gastrik - menghakis dinding perut)
  • gastrik jika dibiarkan (tak dirawat) akan menjadi ulser

Obesiti ;

  • sinonim dengan penyakit-penyakit seperti sakit jantung, strok, diabetes, sakit lutut dan pinggang

"Belanjakan (harta kamu) untuk jalan Allah dan janganlah kamu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Buatlah kebaikan, sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berbuat baik." ~Surah Al-Baqarah, Ayat 195~

  • proses merawat :
    • DECIDE + PLAN ---> COMMIT ---> SUCCEED (INSYAALLAH)
  • Langkah 1 : Kenalpasti Masalah..
    • kira BMI (body mass index) = berat (kg) / tinggi (m)²
      • normal = 20 - 25
      • overweight = 26 - 30
      • obes = 31 - 36 atau lebih
    • kira % lemak badan
    • lakukan 'waist to hip ratio' (ukuran keliling pusat bahagi dengan ukuran keliling pinggang). Ratio yang seimbang ialah <0.8
    • dapatkan ujian darah untuk uji kolestrol (orang kurus / normal pun perlu cek, tak semestinya kurus tu sihat juga)
  • Langkah 2 : Faham Bagaimana Badan Berfungsi..

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas." ~Surah Al-A'raaf, Ayat 31~

  • imbangan tenaga (contoh) ;
    • Keperluan harian = 2000 kcal
    • Pemakanan harian = 4000 kcal
    • maka lebihan tenaga adalah 2000 kcal yang akan disimpan sebagai lemak
  • berat badan dipengaruhi 90% pemakanan dan 10% senaman
  • untuk menghilangkan 1 paun lemak (lbs) = 3500 kcal perlu dibakar
  • cara terbaik adalah mengurangkan kalori dalam makanan sedikit demi sedikit (berjadual)


carta yang dibuat semula menggunakan Lucid Chart
Faedah bersahur & berbuka pada waktunya ;

  • elak 'kebuluran' / kekurangan tenaga
  • elak asid berlebihan dalam perut

Makronutrien penting ;

  1. Protien - dada ayam (tak berkulit), ikan, telur (elakkan makan kuning telur > banyak kalori), daging
  2. Karbohidrat - nasi, roti putih.. > beri glycemic response (beri tenaga dalam masa singkat, namun bila berkurangan, mudah mengantuk)
    1. fokus pada roti bijirin, beras basmathi, sayur + buah-buahan (karbohidrat berbentuk serat)
  3. Lemak
    1. lemak bahaya (tinggi LDL) = lemak trans (banyak dalam makanan bergoreng), marjerin
    2. lemak elok = minyak zaitun, Omega-3, minyak kelapa dara, kekacang

Ilustrasi contoh kadar pengambilan antara 3 makronutrien ini ;
Jika protein sebanyak tapak tangan, karbohidrat sebanyak sepenumbuk dan lemak sebesar ibu jari (sumber gambar google dan diedit)
Senaman bulan Ramadhan ;

  • cara terbaik > senaman 'Core' / statik dalam 10-30 saat sehari > membina ketahanan otot
  • punca tenaga sebenarnya dari otot
  • resistance traning > kekalkan komposisi otot


SLOT 3 :: 'Transformasi Spiritual & Emosi' oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Ustaz Hasrizal~
"Dalam bulan Ramadhan diturunkan al Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu. Sesiapa yang sakit atau musafir (diharuskan berbuka) hendaklah menggantikannya pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. Hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa dan hendaklah kamu mengagungkan Allah kerana memberi petunjuk kepada kamu, semoga kamu bersyukur." ~Surah Al-Baqarah, Ayat 185~

Sesi dimulakan dengan kisah sejarah, iaitu Presiden pertama Tunisia, Habib Bourguiba yang mengeluarkan pekeliling pada tahun 1961 - tidak membenarkan puasa!

  • Berikut di'paste' sedikit petikan kisah ini dari Khutbah Jumaat Ust. Hasrizal agar tak lari dari maksud asal beliau ;

Sejarah mencatat, pada tahun 1961 umat Islam digemparkan apabila Presiden Tunisia pertama, Habib Bourguiba, telah mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai dengan mesej, “kami memaksudkan apa yang kami kata!”
Alasan Habib Bourguiba menghalang puasa di bulan Ramadhan itu ialah, puasa mengurangkan produktiviti negara!
Apa pendirian kita?
Apakah kita bercita-cita untuk melihat ada pemimpin negara ini yang menjejaki polisi Habib Bourguiba? Naudhubillah min Dzaalik!
Kita mungkin marah dengan Habib Bourguiba. Pandangannya itu amat bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Malah ia menyalahi seluruh catatan sejarah umat Islam. Apakah Habib Bourguiba tidak tahu, bahawa di bulan puasa itulah, umat Islam mencapai kemenangan di dalam Perang Badar? Kota Mekah dibebaskan di bulan Ramadhan. Ketibaan Islam di Andalus dan mengasaskan pemerintahan Islam 700 tahun, berlaku di bulan Ramadhan. Peperangan Ain Jalut yang menumpaskan pengganas Tatar berlaku di bulan Ramadhan. Pembebasan bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi juga berlaku di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan yang hebat bagi umat Islam.
Apakah Habib Bourguiba buta sejarah?
Beliau mungkin buta sejarah. Beliau juga mungkin tidak buta sejarah. Namun apa yang penting ialah, ia adalah SEJARAH. Ia buat semasa. Ia bukan kita. Ia adalah sejarah.
       *untuk baca teks penuh Khutbah ini, klik [sini]

  • namun ada betulnya jika kita katakan produktiviti boleh menurun ketika berpuasa, tetapi bukan puasa dan Islam yang dipersalahkan! Jika seseorang tidak berpuasa dengan cara yang betul maka benarlah produktivitinya akan menurun (salah pada caranya)

1) Betulkan cara pandang pada ibadah puasa ;

  • kesihatan?
  • buat duit?
  • pahala semata-mata?
  • PROSES! (yang hakiki)


Proses yang dibentuk ketika puasa, terbahagi kepada 4 aspek, dan aspek Spiritual adalah yang utama (pengaruhi aspek lain)

Memahami proses ad-deen [klik gambar untuk lihat lebih jelas].. diberi analogi cara membuat kuih baulu. Jika baulu tak sedap, pasti ada yang tak kena pada bahan / prosesnya!

  • Kata beliau lagi ; "Siapa nak jadi baik kena solat, sebab solat dapat baikkan orang (mencegah kemungkaran) dan sesiapa yang bersolat tak semestinya dah baik. Jika masih melakukan kemungkaran maka pasti ada yang tidak kena pada input (niat) dan proses (ketika solat itu)"

2) Mekanisme Puasa ;
"Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa." ~Surah Al-Baqarah, Ayat 183~

Mekanisme puasa dari ayat 183 Surah Al-Baqarah, berdasarkan input, proses dan output

  • Ramadhan mengikut kalendar lunar (berdasarkan bulan), menjadi 10 hari lagi awal pada setiap tahun
  • jika di utara (UK, Canada, Eropah...), Disember adalah musim sejuk (dan ramadhan pada waktu itu lebih 'mudah' dilalui)
  • jika di selatan, mereka diuji dengan cuaca yang panas (siang yang panjang)
  • Malaysia di tengah-tengah (garisan khatulistiwa) maka setiap tahun sama pengalaman dan waktunya..
  • hikmah berlainan = Allah telah tetapkan waktu mengikut kesesuaian penduduk di sesuatu kawasan & fitrahnya..

3) Mencapai Kualiti Taqwa

  • nilai di sisi Allah ---> bukan harta, pangkat dan rupa!
  • jadi, apa nilaian di sisi Allah ? >>

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." ~Surah Al-Hujurat, Ayat 13~

  • ya.. nilaian Allah hanyalah TAQWA..
  • implikasi Taqwa pada 4 aspek 'proses' tadi (fizikal, spiritual, emosi, intelektual) akan menyeimbangkan hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan juga dalam pekerjaan kita..

4) Definisi Taqwa ;

  • Umar al-Khattab bertanya kepada Ubai bin Kaab makna Taqwa :
    • Ubai (jawab dalam bentuk soalan semula) : "Pernahkah kamu melalui jalan yang berduri?"
    • Umar : "Sudah tentu"
    • Ubai : "Apa yang kamu lakukan?"
    • Umar : "Saya menyingsing pakaian dan berjalan penuh hati-hati agar tidak terkena duri."
    • Ubai : "Itulah Taqwa"
  • TAQWA itu ibarat berjalan dengan penuh hati-hati, tidak 'main redah je'
  • ia berkenaan dengan kesedaran (conscious) dan kawalan diri (self control)

5) Cabaran Luar :: Syaitan

  • Rasulullah s.a.w bersabda :

“Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

  • Pada bulan Ramadhan, syaitan dirantai, bukan dibius.. jadi sesiapa yang mendekati tempat kegemaran syaitan / mendekati kemungkaran, dia tetap akan dipengaruhi untuk melakukan maksiat (ibarat mendekati anjing garang yang tertambat)
  • namun bukan semua kejahatan datang dari syaitan, tetapi bergantung juga kepada kawalan diri sendiri (self control)


6) Cabaran Utama :: Diri Sendiri
"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? " ~Surah Al-Jatsiah, Ayat 23~

  • 'tuhan palsu' yang dimaksudkan bukanlah dari patung berhala semata-mata, atau pohon / kuburan yang dipuja, namun 'tuhan palsu' itu mungkin juga berada dalam diri kita sendiri, yang jarang disedari > iaitu NAFSU
  • yakni apabila nafsu dijadikan lebih penting dari kehendak / suruhan Allah


7) Formula Perubahan
"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya." ~Surah Ar-Ra'd, Ayat 11~

  • Siapa pengaruh siapa? (contoh : "Saya bad mood /mencarut bila jalan jem, bila jalan lengang saya berzikir")
  • Itu menunjukkan kita letakkan diri kita dalam keadaan yang kita tak boleh kawal.. contoh lain : bad mood bila cuaca hujan...
  • Itu semua ketentuan Allah, jangan jadikan diri kita terikat / dipengaruhi oleh situasi yang kita tak dapat kawal, ubahlah diri kita dahulu


Circle of Control / No Control - boleh dijadikan panduan berguna (cadangan Ust. Hasrizal)

-----'Transformasi Emosional'-----

  • berupaya membuat pilihan dalam tindakan
  • kegagahan sebenar - mengawal diri ketika marah
  • Sabda Rasulullah SAW;

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]

  • berkait dengan kisah "Who kicks the cat?" > link [Siapa Sepak Kucing Malang Itu - tulisan Ust. Hasrizal]
  • contoh lain : lagu "Bangau Oh Bangau"
  • *salah seorang perlu menghentikan 'kitaran' salah menyalahkan / melepaskan kemarahan itu!*
  • kadang-kadang kemarahan itu perlu contohnya apabila isu seperti Rasulullah SAW dipersendakan melalui karikatur & perkara-perkara yang mencemar nama Islam, bukanlah dengan memaki hamun pihak yang bersalah, tetapi kita perlu berusaha untuk mengubahnya (ubah masalah menjadi peluang menyampaikan yang benar)
  • *ingat 'sendi' kita dalam segala hal = Taqwa*

a) Mekanisma Puasa (tambahan) yang efektif (berkait dengan emosi) :

  • Sabda Rasulullah SAW ;

"Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: "Sesungguhnya aku berpuasa"." [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

  • bukan bermakna jika ada orang mencuri barang kita, kita pun berkata ''Sesungguhnya aku berpuasa" dan membiarkan sahaja.. Bukan begitu.. Hadis ini lebih kepada soal muamalat / dimarahi ketika berbual, berhujah, dalam organisasi, etc.. tanda self control

b) Menjadi Manusia Proaktif

  • diselitkan kisah Steven Covey bersama anaknya (di'paste' dari salah satu artikel Ust Hasrizal) ;

..Ketika Covey sampai di pintu rumah, dia diterpa anak kecilnya sambil berkata, “daddy, I am a hardworking man”
Sandra, isterinya berkata, “tadi semasa saya baru balik kerja, anak kita ini sedang menaburkan bekas-bekas makanan kotor di atas lantai. Kemudian disimbahnya dengan air”
Oh, itu pengalaman kita semua. Balik kerja, penat-penat, sakit-sakit, tiba-tiba anak buat hal. Apa reaksi anda? Bagaimana reaksi Sandra?
“Saya tahan sabar. Saya tanya anak kita kenapa dia buat begitu?”, kata Sandra.
“Apa katanya?”, tanya Stephen.
“Saya nak tolong emak!”, jawab si anak.
Ya, si anak menyepahkan pinggan mangkuk dengan niat mahu MEMBANTU EMAK.
Bayangkan jika Sadra menampar si anak tadi, apakah pelajaran yang anaknya perolehi?
Hatinya akan berkata, “kalau nak tolong emak, nanti kena tampar!”
Jangan terkejut jika anak kita akhirnya membesar berat tulang, berat punggung. Kita yang mengajarnya dulu. Jika mahu menolong emak, habuannya penampar!
Apa kata Sandra?
“Oh begitu, kenapa tak basuh di sinki?”, tanya Sandra kepada anaknya.
“Tak sampai”, kata si anak kecil.
“Baiklah, lepas ini kalau kamu nak tolong emak, beritahu dahulu, ok? Emak akan ambilkan bangku dan kamu basuh di sinki, boleh?”, pujuk Sandra.
“Boleh”, jawab di anak.
“Bagus, you are a hardworking man”, puji si ibu yang proaktif.
Stephen Covey membuat kesimpulan, “dalam situasi seperti itu, prioritinya bukanlah lantai dapur yang bersih, tetapi anak yang ,mendapat pelajaran yang betul.
Bagaimana Sandra boleh menyabarkan diri untuk menjadi proaktif, tidak melatah dan bertindak melulu mengikut rangsangan? Sandra mengamalkan apa yang kita orang Islam namakan sebagai SABAR!
       *untuk membaca keseluruhan artikel ini, klik [link]
*pentingnya memberi perhatian ketika anak melakukan kebaikan! dan cuba abaikan ketika anak buat perangai (err..mampukah? InsyaAllah boleh...)

beza cara Reaktif dan Proaktif.. pilihlah yang Proaktif!
c) Terjemahan Erti SABAR ;
"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan." ~Surah An-Nahl, Ayat 127~
  • 4 jenis sabar ;
    •  الصبر بااللَّه = *terlepas* ada sesiapa faham / boleh bantu?
    •  الصبر مع اللَّه = sabar dengan Allah dalam berbuat amalan
    •  الصبر لِلَّه = sabar kerana Allah perintahkan
    •  الصبر عن اللَّه = sabar dari Allah (jangan sesekali sabar dengan sabar yang ini)

d) Pakej Ramadhan (kesimpulan umum) ;
Pakej Ramadhan~

*harap maaf jika ada tersilap~ mohon teguran ya, sama-sama kongsi ilmu, InsyaAllah



17 July 2011

Ayam Silkie @ Baung ::album 29-11-10::

No comments:
Lokasi : Rumah Saudara di Baung, Kelantan
Subjek : Ayam berjambul gebu dan pemandangan sekitar

Ayam unik ini sebenarnya jenis ayam baka 'Silkie' , mak saudara ada bela sepasang, ini yang betina, yang jantan dah mati.. kini berpasangan dengan ayam serama~ Ayam juga kan....

Bila search di internet, Subhanallah, baru ku tahu ada banyak jenis baka ayam di dunia ini.. ada yang pelik, ada yang sangat cantik.. sungguh luarbiasa ciptaan Al-Khaliq.. nak tengok? boleh klik di link ini > [chicken breed]

reaksi terkejutnya (konon) terhadap makhluk yang tiba-tiba menerjah di depan pintu untuk snap gambarnya.. apa-apapun ia jinak! 4:13 PM

teringat pula pada watak 'big bird' dalam Sesame Street..

tunduk hormat~ ;)

merenung jauh..

bergaya..?

halaman rumah saudara di Baung pada waktu petang..

dalam perjalanan keluar dari kawasan rumah (scene yang selalu diambil bila singgah di Baung, tapi tak pernah jemu)

perahu usang..

dah naik atas jalan raya.. off to Machang!

6:09 PM

6:12 PM

6:18 PM

di traffic light.. suka pokok botak tu.. 6:21 PM

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." ~Surah Al-An'am, Ayat 38~


01 July 2011

Resah seorang rakyat

No comments:
Menatap muka akhbar, memasang telinga pada berita..
kemudian dahi berkerut, kening tersesar, hati berduri mekar..
itulah yang sering berlaku sejak kebelakangan ini, malah semakin parah dari hari ke hari..
penyakit apakah yang sedang melanda?
tak, ini bukan penyakit pedih ulu hati....

ISLAM - agama yang syumul nan indah, namun nilai-nilai kemurniannya semakin dikaburi sebahagian umat Islam sendiri (gambar dari Brotherhood Arts)

Suara ini bukan suara asing bagiku..
suara ini sudah lama dipendam luka..
3M (membaca, mendengar, melihat) segala fitnah & ketidakadilan..
bukan setakat di arena politik, serta media yang dieksploitasi hiburan melampau,
tetapi juga di arus pembangunan sebuah ummah..
lebih-lebih lagi maksiat yang dijadikan kebiasaan dalam masyarakat..

Masjid serta surau turut dicemari
oleh perbuatan kotor insan-insan berhasad dengki
semakin hilang iman & akhlak terpuji
kita doakan limpahan nur kebenaran dari Ilahi

Kian terserlah peristiwa akhir zaman,
kian tersingkap kebenaran Kalamullah serta Hadis...
bencana alam semakin menjadi-jadi,
peringatan Allah atas tindakan manusia sendiri..
Allahu-rabbi, apakah lagi kurniaanNya kita mahu dustakan?

Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasut menghasut sehingga zalim menzalim". (Hadis Riwayat Hakim)
Segala bicara pun tidak boleh merungkai apa yang berkecamuk di hati..
bukan mahu membenci, tapi aku tak rela menyaksikan 'kezaliman' dengan berdiam diri..
bencilah maksiat / dosa yang dilakukan, bukan membenci pendosa (orang yang melakukan maksiat)..
begitu juga kebenaran, sokonganku tak terhad hanya pada pihak tertentu, tetapi pada perjuangan / kebaikan yang dianjurkan.. pilihlah jalan menuju kebenaran, Allah akan bersama mempermudahkan jalan kita..
Mengajak kepada kebaikan, mencegah & menghalang kemungkaran > Tanggungjawab kita bersama!

Kudratku tak sekuat pejuang di luar sana,
namun usahalah sedaya mampu untuk sampaikan kebaikan,
bak kata Ust. Pahrol, "Untuk menyampaikan sesuatu kebenaran, jadilah kebenaran itu!"
perbaiki amal & akhlak (actions speak louder than words), do'a tetap perlu kita panjatkan pada Allah..
tidak ku mahu menjadi salah seorang yang dipertanggungjawabkan di akhirat kelak jika tak cakna..
mampukah kita Tanggung segala dosa kemudian Jawabnya dihadapan Allah.. :'(

Soalan bagi setiap muslim.. peranan kita (gambar dari Brotherhood Arts)

Suara ini terbatas, kerna bidang ilmuku belum cukup luas..
aku hanya seorang rakyat biasa yang mahukan kepimpinan berteraskan Qur'an & Sunnah, keadilan, kebenaran & ketelusan..
walau tiada orang atasan yang mahu ambil peduli,
suara ini perlu kusampaikan, biarpun hanya berbentuk tulisan..
aku tak mahu negara tercinta ini terus hanyut dengan arus nafsu duniawi,
apatah lagi kita, sebagai ummat Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang terpuji..

*Moga kita berada di pihak yang benar, InsyaAllah.. Islam kan kembali gemilang

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
"Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku "al-Harj". Sahabat bertanya, " Apakah al-Harj itu hai Rasulullah?". Nabi Muhammad SAW menjawab : "Peperangan demi peperangan demi peperangan". (Hadis Riwayat Ibn Majah)
"(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan"." ~Surah Al-A'raf, Ayat 3~
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat)." ~Surah Al-A'raf, Ayat 147~