Itulah yang wajib ditempuhi setiap makhluk bernyawa, sebelum beralih ke dunia Akhirat..
"Kematian Pasti Tiba", ungkapan yang menjadi menjadi tema bagi Kursus Pengurusan Jenazah yang dijalankan pada hari ini (22/1/11, Sabtu) di Masjid UKM, anjuran Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang UKM dengan kerjasama Pusat Islam UKM..
Program dimulakan dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Ust. War'ie, seorang yang berpengalaman dalam menguruskan jenazah
PEMBUKA BICARA
- bila dah ada ilmu, cabarannya adalah takut. Maka kekuatan kita adalah melalui i'tikad & meyakini bahawa perlindungan hanya dari Allah
- ketakutan yang selalu dimomokkan mengenai jenazah / hal lain sebenarnya kita yang buat sendiri.. contohnya takut / ngeri pada batu nisan, sedangkan ia hanya papan tanda untuk sesebuah kubur.
- kita perlu ada keyakinan menghadapi jenazah, di mana kita sudah maklum mayat boleh jadi busuk, maka kita perlu hadapinya (tetap bernafas melalui hidung!)
- usah hidup dalam keadaan 'sarcastic' (merujuk pada seseorang yang terlalu menjaga kebersihan & tidak boleh kotor walau sedikit). Memang Islam menganjurkan kebersihan, tetapi apabila kita perlu menghadapi suatu situasi / keadaan seperti ini, hadapilah ia dengan cara yang sesuai
- pemandi jenazah mesti amanah, tidak boleh 'buka cerita' mengenai apa yang dilihat sewaktu memandikan
URUSAN DENGAN ORANG SAKIT
1. Ziarah
- Tujuan : untuk bertanya khabar, kukuhkan silaturrahim, sebagai galakan untuk menghibur, menghulur simpati & kewajipan sebagai insan
- Tidak boleh pilih kasih (contoh: jika bos sakit pergi ziarah besar-besaran, tetapi apabila tukang sapu sakit kita sedikitpun tidak ambil tahu mengenainya)
- Hukum : Sunat Mu'akkad (sangat dituntut)
2. Adab Ziarah
- tidak terlalu lama (kecuali diminta)
- sunat pergi berselang hari
- do'akan kesembuhan & beri kata peransang
- mengingatkan penjagaan kebersihan & solat
- mengingatkan berzikir : sebaiknya Qur'an
- sunat menitiskan air ke dalam mulut pesakit
- tidak berbual kosong
ADAB MENZIARAHI PESAKIT YANG SUDAH NAZAK
1. Mengajarkan kalimah syahadah, bisikkan di telinga kanannya
paling basic : لآ إِلَـهَ إِلاَّ اللَّـهُ
2. Membaca surah Yasin & Surah Ar-Ra'd
3. Mendoakannya :
"Ya Allah, jika sakit itu baik untuknya (sebagai penyembuh dosa) maka hidupkanlah ia, tetapi jika kematian itu lebih baik untuknya (menamatkan seksa tanggungan sakit) maka padaMu ia akan dikembalikan.. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Mu"
HAKIKAT KEMATIAN
- setiap yang hidup pasti akan mati
- apabila mendengarkan sebarang musibah termasuk kematian, maka ucapkanlah :
إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
(Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali)
- dalil :"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah kan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ~Surah Ali-'Imran, Ayat 185~
AMALAN SUNAT KE ATAS SI MATI
- meletakkan jenazah dengan kakinya menghala ke Timur & kepala menghala Barat (dalam keadaan menghadap Qiblat)
- menutupkan matanya (arah mata akan ikut seiring dengan perginya roh) dengan bacaan :
* ketika memandikan & membawakan jenazah ke dalam liang lahad juga disunatkan membaca ayat ini
- kematian harus disahkan terlebih dahulu, baru boleh dimandikan (jika kematian luar hospital ; kena report pada balai / pegawai kesihatan berdekatan)- Jika postmortem > mengambil masa yang lama, kena sabar menunggu
- selesai membuang kotoran pada jenazah, ganti pakaiannya & letakkan jenazah di tempat yang tinggi (seperti di atas katil)
- betulkan kedudukan jenazah (pastikan ia menghadap qiblat)
- pejamkan matanya, tutupkan mulutnya
- letak objek berat diatas perut jenazah (seperti batu yang dibungkus kain) > untuk mengelakkan kembung
* Khurafat jika meletakkan surah Yasin / Qur'an diatas mayat
- meletakkan wangi-wangian (biasanya setanggi)
- tutup jenazah dengan kain (eg: kain batik)
- menjelaskan semua hutang si mati (jelaskan hutang dahulu sebelum sibuk mengenai harta warisan!)
KEWAJIBAN DALAM MENGURUSKAN JENAZAH
1. Memandikan jenazah
2. Kafankan jenazah
3. Solatkan jenazah
4. Kebumikan jenazah
JENAZAH YANG BOLEH DIMANDIKAN
1. Jenazah orang Islam
2. Bukan syahid dunia akhirat
3. Bukan yang ditayammumkan (tayammum kerana khuatir isi relai dari tubuh jika guna air - kes jasad hancur / terbakar teruk)
ALATAN MANDI YANG SESUAI
- tempat mandi sesuai.. sebaiknya yang khusus untuk memandikan jenazah
- air mutlak, daun bidara, sabun yang boleh membersihkan najis, kapur barus, serbuk cendana, air mawar, limau nipis (cara tradisi hilangkan bau / mencuci, namun harus berhati-hati kerana ia bersifat memedihkan terutamanya pada mayat berluka - jangan guna)
- sarung tangan, kain putih (untuk memeriksa kebersihan bahagian sulit)
- penutup mulut, apron, kain basahan, kain gantian, *clorox* (*untuk pesakit HIV)
CARA MEMANDIKAN JENAZAH
1. Baringkan jenazah terlentang di tempat mandi, menghadap qiblat, dan di tempat tertutup (beratap di atas). Pastikan aurat jenazah terjaga.
2. Basahkan seluruh badan jenazah
3. Buang najis qubul & dubur (pakai sarung tangan, jangan sesekali menyentuh kulit ke kulit)
- cara basuh di situ : melalui bawah kain yang menutupnya (jangan tengok) & basuh seperti kita basuh sesudah 'melepaskan hajat', jangan sampai ke dalam (kecuali di faraj bagi wanita yang sudah berkahwin), urut di bahagian kiri perutnya untuk mengeluarkan baki najis yang tertinggal
- uji guna kain putih / kafan lebihan (yang dijadikan sarung tangan) di bahagian sulit tersebut sehingga tiada warna ain yang menunjukkan najis masih ada).
- Bagi jenazah yang ada masalah di mana najis berterusan keluar walau sudah dalam 10 minit proses membasuh, biarkan dahulu & teruskan membasuh anggota lain. Jika check semula selepas itu & masih ada kesan, sumbat dengan kapas (mengelakkan najis keluar ketika mahu mengkapan)
- jika semasa menyentuh bahagian sulit jenazah (proses membasuh) & terasa ada kemusykilan, dibenarkan untuk melihat & membuat keputusan segera (contoh kes : terdapat daging lebih / lain dari biasa)
4. Sabun seluruh badan jenazah & buang kotoran (elakkan menyabun tempat-tempat terbuka yang menyebabkan rasa pedih seperti di mata). sebaiknya mulakan menyabun bahagian kanan badan dahulu.
5. Jirus dengan air mutlak, penuh adab + berlembut (jangan berkasar, kerana walaupun tiada roh, ia masih merasai malu & sakit kesan dari sakaratul maut yang tak terperi sakitnya)
6. Bersihkan rongga terbuka seperti telinga, hidung & gigi menggunakan putik kapas
7. Setelah selesai, sunat untuk mewudhu'kannya dengan niat "Sahaja aku mewudhu'kan ke atas mayat ini kerana Allah ta'ala"
* di bahagian yang tidak sampai air, tayammumkan bahagian itu
8. Tutupkan dengan kain nipis, kemudian siramkan dengan air larutan kapur barus
Ringkasan step ;
1. Sabun - +limau nipis / daun bidara
2. Bilas - air mutlak
3. Air kapur barus & cendana
*sunat mengulang proses mandi ; 3x / 5x / 7x / 9x.. tapi biasa orang tak buat (rumit & banyak proses)
PERALATAN KAFAN
1. Kain putih (bidang 45") > dikerat kepada 3 bahagian utama
2. Tali 5 utas -overall dalam 4 depa, potong setiap depa, salah satu dipotong lagi 2 bahagian (pendek)-(2 pendek : 1 di kepala & 1 di kaki, 3 panjang untuk badan) yang diambil dari lebihan kain kafan tadi (carikkan)
3. Kapas 2 gulung
PROSES MENYEDIAKAN KAFAN
(kumpulan muslimin dipisahkan dengan kumpulan muslimat untuk amali ini, jadi catatan di sini lebih kepada pengurusan jenazah kaum muslimat.. kerana aku bukan muslimin~ eh tetiba lak. Tapi basicnya lebih kurang je, tang bahagian lapis-lapis & pakaian tu yang lain.. no worries k. jangan tetiba pakaikan telekung untuk jenazah lelaki udoh le > refer perenggan merah untuk panduan antara jantina)
(bahagian ini juga sudah digabungkan dengan catatan pada waktu amali - mudah untuk dirujuk)
1. Ukur panjang jenazah menggunakan tali kafan yang belum dipotong, lebihkan sehasta
2. Ukur panjang ukuran tadi pada kain kafan untuk dipotong menjadi 3 bahagian & seterusnya dipotong lagi mengikut bahagian tertentu (khususnya jenazah perempuan)
* Lelaki (L) & perempuan (P) - paling kurang 1 lapisan
sunat L - 3 lapis (cara Rasulullah s.a.w)
sunat P = 5 lapis (2 kain penutup semua, 1 kain [2 lipatan tali ukur badan], 1 baju, 1 telekung [3 lipatan tali ukur badan] )
Harus L = 5 lapis (3 yang sunat + 1 serban + 1 jubah)
3. Bentang tikar (untuk mudahkan proses pengalihan keseluruhan - tetapkan ikut qiblat terus - mudah)
4. Susunkan tali yang telah dipotong 5 tadi
5. Letakkan lapisan pertama kain di atas susunan tali
6. Taburkan serbuk cendana & kapur barus
7. Letakkan lapisan kedua kain tepat diatas lapisan pertama & ulang proses 6
8. Letakkan telekung > kemudian baju (lapisan atas dibuka keluar - senang nak sarung pada kepala jenazah bila jenazah dah diletakkan) > kain (paras pinggang hingga kaki)
9. Letakkan kapas 2 papan (sebelah menyebelah) yang setiap satu panjangnya dalam 2 kaki setengah diletakkan di bahagian tengah kain (untuk alas mayat)
10. Ulang proses 6
11. Letak 'lampin' (cawat yang dibuat menggunakan lebihan kain kafan & kapas di dalamnya) khususnya bagi jenazah yang bermasalah tadi
12. *jenazah siap dimandikan & ditukar pakaian mandi dengan kafan kering (kain tutup aurat - dan sebagai 'pengelap' lembapan selepas mandi)* Jenazah diusung ke tempat kafan yang disediakan (seeloknya didahulukan kepala)
13. Jenazah dibungkus satu persatu lapisan. Setiap lapisan diperkemaskan
14. Sebelum setiap bahagian diperkemaskan di tempat tertentu, lebihan kapas diletakkan di bahagian bawah dagu, kepala & sedikit dahi, tapak tangan dan kaki (sunat letak kapas di anggota sujud)
15. Setelah dibungkus dengan 2 lapisan terakhir (tinggalkan bahagian muka dibuka agar kaum kerabat si mati boleh beri penghormatan terakhir padanya), ikatkan satu persatu dengan kemas ('bunga' ikatan berada di bahagian kiri jenazah, jangan disimpul mati kerana tali itu akan dibuka semula setelah jenazah diletakkan di dalam liang lahad - cukup sekadar mengikat agar kafan tidak terbuka ketika mengusung jenazah ke kuburan). bahagian kepala dan kaki diikat secara 'pocong'.
-OK, kini kembali pada nota ceramah yang di'skip' tadi-
RUKUN SOLAT JENAZAH
- berdiri betul - niat - 4 kali takbir
- bacaan :
Selepas takbir 1 = Al-Fatihah
Selepas takbir 2 = selawat atas nabi (paling mudah : "Allaahumma-solli'ala Muhammad")
Selepas takbir 3 = Do'a (umum : "Allaahummaghfirlahu, warhamhu, wa'afini wa'fu-anhu")
Selepas takbir 4 = Salam (biasanya Imam akan bacakan do'a tambahan sebelum salam)
- sekurang-kurangnya 1 saf 2 orang.. Seeloknya ada 3 saf
KEDUDUKAN IMAM KETIKA SOLAT JENAZAH
Penjelasan :
Jenazah lelaki - kepala jenazah berada di sebelah kiri Imam
Jenazah perempuan - Imam bersetentangan dengan pinggang jenazah
JENIS-JENIS KUBUR
pandangan keratan rentas jenis kubur (menghadap kepala jenazah)
- ketika hendak mengusung jenazah ke dalam kubur, dahulukan bahagian kepala
- setelah meletakkan jenazah di dalam liang lahad, WAJIB mengiringkan jenazah ke arah kiblat (ke kanan) & wajahnya menyentuh dinding tanah, namun tidak wajib jika jasad itu sudah hancur.
- Letakkan ketulan tanah (sebagai sendal) pada bahagian belakang badan jenazah jika badan terbalik selepas dimiringkan
- 'bantalkan' kepala jenazah dengan ketulan tanah
- WAJIB tutup liang lahad sesudah itu dengan papan
- setelah menimbuskan liang lahad, sunat meninggikan timbunan tanah sebanyak sejengkal dari permukaan tanah
- sunat duduk sebentar di kuburan > berdoa pada si mati (talkin)
**seusai penerangan, sesi soaljawab bermula. Antara yang diutarakan;
HUKUM & PANDANGAN MENGENAI HIASAN KUBUR
---------------------------------
Kursus berakhir dalam 4.30 petang.. Alhamdulillah..banyak input yang diperoleh terutamanya sewaktu praktikal.. moga sama-sama dapat manfaatkan ilmu yang dipelajari. Bagi yang belum pernah menyertai kursus pengurusan jenazah, anda digalakkan menyertainya bila ada peluang, tak rugi :)
Lepas ni pergi kursus kahwin pula~ hee [perasan dah ada calon] (err.. nak join masa tahun 3 nanti la.. InsyaAllah jika masih diberi peluang.. waktu ni rasanya belum ada keperluan untuk itu, diri ini masih belum 'layak'~ silap-silap ajal datang menjemput dahulu kan.. Wallahu-a'lam)
"Dan (tiap-tiap) makluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu suatu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur." ~Surah Ali-'Imran, Ayat 145~
-Selamat beramal-
No comments:
Post a Comment