Memegang batang kayu / besi, yang hujungnya tidak kelihatan.. Apakah ia sebuah senjata? Kain diikat pula ke kepala, sambil menutup wajah, renungan matanya menggambarkan tekad yang membara.. persis seorang mujahidah.. Adakah dia mahu ke medan perang untuk berlawan menentang musuh-musuh Islam? . .. ... .... Penyapu? Ya.. dia sedang melakukan salah satu kerja rumah iaitu membersihkan halaman.. (Analogi kain purdah dalam lukisan ini = melindungi diri dari habuk!) Jadi apa kaitan kerja-kerja rumahtangga dengan 'JIHAD' (bagi seorang wanita)? Mari teruskan pembacaan :) *Tersenyum sendirian tatkala menatap kembali 2 lukisan ini yang berkesinambungan.. dilukis pada kertas amali Geofizik (19/3/11) yang tersadai atas meja study kolej, dalam minggu sibuk! Sempat pula? Entah memang selalu 'gatai tangan' nak melukis dalam waktu sebegitu, dan sudah pasti ruangan-ruangan kosong pada kertas yang dibuat kerja itulah yang menjadi mangsa (padahal ada je kertas A4 kosong).. Tercetusnya ilham untuk melukis watak tersebut adalah dari pembacaan artikel pada webforum saudara Amirshah, dengan tajuk 'Jihad Seorang Ibu'.. (artikel ini sudah banyak tersebar di laman web dengan penulis yang berbeza, maka penulis sebenar tidak dapat dikenalpasti.. cukuplah untuk saya rujuk dari saudara Amirshah.. saya hanya memperkemaskan susunan penulisan sahaja) Artikel kedua pula (klik link tajuk dibawah) adalah hasil penulisan Ust. Nasaruddin Al-Tantawi, yang telah ku abadikan dalam blog kedua > tajuknya : Jihad Seorang Wanita .. penjelasan di dalam artikel ini lebih meluas. Dah baca yang itu? Ok, mari sambung baca pandangan artikel yang pertama (copy & paste) : ------------------------------------------------------------------------------------ Jihad seorang ibu (copied from Amirshah) Wanita, khususnya ibu, juga berjuang dengan bersungguh-sungguh atau jihad. Itulah sebabnya pengorbanan ibu sering diingati sehingga Hari Ibu senantiasa popular. Rasulullah SAW bersabda : "Setiap jerih payah isteri di rumah sama nilainya dengan jerih payah suami di medan jihad." (HR Bukhari & Muslim). Pada dasarnya, Islam telah mengangkat darjat wanita, termasuk para isteri atau ibu yang memelihara rumah tangganya. Untuk mendapatkan syurga-Nya kelak, isteri cukup berjuang di rumah tangganya dengan ikhlas. Peluh mereka di dapur dinilai sama dengan darah mujahid di medan perang. Menjadi ibu di rumah tampak perkara remeh. Padahal, urusan rumah tangga dan mengasuh anak amat mencabar. Ia juga mengandungi kebaikan dan hikmah besar. Di tangan ibulah keperibadian sebuah generasi dipupuk.... Pertumbuhan suatu generasi bangsa bermula di buaian. Di tangan ibu pendidikan anak ditanam sejak awal sehingga tampil generasi bermutu untuk berbakti kepada watan, bangsa dan agama. Dalam Islam, tugas ibu amat besar lagi mulia dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Rasulullah s.a.w berpesan: "Seorang isteri pemimpin di rumah suaminya dan bila bertanggungjawab atas kepemimpinannya." (HR Bukhari & Muslim). Sayangnya, banyak wanita kurang senang dengan kegiatan rumah tangga. Mereka lebih bangga bekerja di luar rumah kerana mengutamakan azam berdikari. Meskipun seorang wanita tidak bekerja setelah lulus sarjana, ilmunya tidak akan sia-sia. Ini kerana dia akan menjadi ibu sekali gus pendidik bagi anak-anaknya. Kebiasaan cara berfikir ilmiah yang dia dapatkan daripada proses belajar di institusi itulah yang akan menjadi pelengkapnya dalam mendidik anak. Seorang ibu memang harus cerdas dan bermutu kerana kewajiban mengurus anak tidak hanya memberi makan minum dan pakaian sahaja. Ibu perlu dapat merawat dan mengasuh anaknya dengan benar, penuh kasih sayang dan kesabaran. Ibu bak acuan yang menempa anaknya dengan nilai mulia sehingga terhindar daripada unsur sekitar yang merosak akal dan akhlaqnya. Itulah sebabnya ibu diletakkan tiga darjat lebih tinggi daripada bapa. Di telapak kaki ibu yang solehah ialah syurga anaknya. ------------------------------------------------------------------------------------ ~ulasan~ Apa yang dapat kusimpulkan dari pembacaan kedua-dua artikel itu ialah setiap tindakan kita haruslah pada tempatnya (mengikut fitrah dengan hati terbimbing), melihat keutamaan & kesederhanaan dalam amal ibadat. Kerja-kerja rumahtangga merupakan jihad utama bagi seorang wanita yang bergelar isteri (juga menjadi ibadat dengan berbakti kepada kedua ibubapa bagi seorang anak), namun jihad dalam konteks menegakkan Islam & menumpaskan musuh itu merupakan tambahan bagi seorang wanita. Benarlah sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain" (Hadis Riwayat At-Tabrani Fil Ausath) Wahai kaum hawa, bersyukurlah apa yang dikurniakan Allah kepada kita, usahlah terpengaruh dengan sesetengah pihak yang mengatakan Islam mendiskriminasi kaum wanita. Setiap kesusahan ada kesenangan & ganjaran tertentu, Allah tak menjadikan sesuatu perintah itu sia-sia.. Wanita ada kelebihannya, lelaki turut ada kelebihannya.. Sesungguhnya Allah Maha Adil, di mana keadilan itu bukan bermakna 'sama rata' tetapi sebenarnya adalah meletakkan sesuatu bersesuaian dengan keadaan ciptaanNya.. Kadangkala nikmat / ganjaran yang Allah beri kita tak lihat ia turun di depan mata, tetapi kita akan merasainya, InsyaAllah.. "Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan." ~Surah Al-Hajj, Ayat 78~ |
Peringatan bersama....
"Wahai anakku, Jauhilah olehmu sifat malas dan banyak mengeluh, kerana sesungguhnya kedua-dua sifat tersebut merupakan kunci dari segala keburukan.Sesungguhnya jika engkau malas, maka engkau tidak akan mampu melaksanakan kewajibanmu.Dan jika engkau banyak mengeluh, maka engkau tidak akan sabar dalam melaksanakan kewajibanmu."(Muhammad bin 'Ali bin al-Husain bin 'Ali bin Abi Thalib)
01 June 2011
Mujahidah Sejati~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Izin share ya
Post a Comment