Peringatan bersama....

"Wahai anakku, Jauhilah olehmu sifat malas dan banyak mengeluh, kerana sesungguhnya kedua-dua sifat tersebut merupakan kunci dari segala keburukan.

Sesungguhnya jika engkau malas, maka engkau tidak akan mampu melaksanakan kewajibanmu.

Dan jika engkau banyak mengeluh, maka engkau tidak akan sabar dalam melaksanakan kewajibanmu."

(Muhammad bin 'Ali bin al-Husain bin 'Ali bin Abi Thalib)

28 January 2011

"Kematian Pasti Tiba"

No comments:
Itulah hakikat, itulah kenyataan..
Itulah yang wajib ditempuhi setiap makhluk bernyawa, sebelum beralih ke dunia Akhirat..

"Kematian Pasti Tiba", ungkapan yang menjadi menjadi tema bagi Kursus Pengurusan Jenazah yang dijalankan pada hari ini (22/1/11, Sabtu) di Masjid UKM, anjuran Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang UKM dengan kerjasama Pusat Islam UKM..

Program dimulakan dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Ust. War'ie, seorang yang berpengalaman dalam menguruskan jenazah

PEMBUKA BICARA

- bila dah ada ilmu, cabarannya adalah takut. Maka kekuatan kita adalah melalui i'tikad & meyakini bahawa perlindungan hanya dari Allah
- ketakutan yang selalu dimomokkan mengenai jenazah / hal lain sebenarnya kita yang buat sendiri.. contohnya takut / ngeri pada batu nisan, sedangkan ia hanya papan tanda untuk sesebuah kubur.
- kita perlu ada keyakinan menghadapi jenazah, di mana kita sudah maklum mayat boleh jadi busuk, maka kita perlu hadapinya (tetap bernafas melalui hidung!)
- usah hidup dalam keadaan 'sarcastic' (merujuk pada seseorang yang terlalu menjaga kebersihan & tidak boleh kotor walau sedikit). Memang Islam menganjurkan kebersihan, tetapi apabila kita perlu menghadapi suatu situasi / keadaan seperti ini, hadapilah ia dengan cara yang sesuai
- pemandi jenazah mesti amanah, tidak boleh 'buka cerita' mengenai apa yang dilihat sewaktu memandikan

URUSAN DENGAN ORANG SAKIT

1. Ziarah
- Tujuan : untuk bertanya khabar, kukuhkan silaturrahim, sebagai galakan untuk menghibur, menghulur simpati & kewajipan sebagai insan
- Tidak boleh pilih kasih (contoh: jika bos sakit pergi ziarah besar-besaran, tetapi apabila tukang sapu sakit kita sedikitpun tidak ambil tahu mengenainya)
- Hukum : Sunat Mu'akkad (sangat dituntut)

2. Adab Ziarah
- tidak terlalu lama (kecuali diminta)
- sunat pergi berselang hari
- do'akan kesembuhan & beri kata peransang
- mengingatkan penjagaan kebersihan & solat
- mengingatkan berzikir : sebaiknya Qur'an
- sunat menitiskan air ke dalam mulut pesakit
- tidak berbual kosong

ADAB MENZIARAHI PESAKIT YANG SUDAH NAZAK

1. Mengajarkan kalimah syahadah, bisikkan di telinga kanannya
paling basic : لآ إِلَـهَ إِلاَّ اللَّـهُ
2. Membaca surah Yasin & Surah Ar-Ra'd
3. Mendoakannya :
"Ya Allah, jika sakit itu baik untuknya (sebagai penyembuh dosa) maka hidupkanlah ia, tetapi jika kematian itu lebih baik untuknya (menamatkan seksa tanggungan sakit) maka padaMu ia akan dikembalikan.. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Mu"

HAKIKAT KEMATIAN


- setiap yang hidup pasti akan mati
- apabila mendengarkan sebarang musibah termasuk kematian, maka ucapkanlah :
إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
(Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali)
- dalil :
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah kan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ~Surah Ali-'Imran, Ayat 185~

AMALAN SUNAT KE ATAS SI MATI

- meletakkan jenazah dengan kakinya menghala ke Timur & kepala menghala Barat (dalam keadaan menghadap Qiblat)
- menutupkan matanya (arah mata akan ikut seiring dengan perginya roh) dengan bacaan :
* ketika memandikan & membawakan jenazah ke dalam liang lahad juga disunatkan membaca ayat ini
- kematian harus disahkan terlebih dahulu, baru boleh dimandikan (jika kematian luar hospital ; kena report pada balai / pegawai kesihatan berdekatan)
- Jika postmortem > mengambil masa yang lama, kena sabar menunggu
- selesai membuang kotoran pada jenazah, ganti pakaiannya & letakkan jenazah di tempat yang tinggi (seperti di atas katil)
- betulkan kedudukan jenazah (pastikan ia menghadap qiblat)
- pejamkan matanya, tutupkan mulutnya
- letak objek berat diatas perut jenazah (seperti batu yang dibungkus kain) > untuk mengelakkan kembung
* Khurafat jika meletakkan surah Yasin / Qur'an diatas mayat
- meletakkan wangi-wangian (biasanya setanggi)
- tutup jenazah dengan kain (eg: kain batik)
- menjelaskan semua hutang si mati (jelaskan hutang dahulu sebelum sibuk mengenai harta warisan!)

KEWAJIBAN DALAM MENGURUSKAN JENAZAH

1. Memandikan jenazah
2. Kafankan jenazah
3. Solatkan jenazah
4. Kebumikan jenazah

JENAZAH YANG BOLEH DIMANDIKAN

1. Jenazah orang Islam
2. Bukan syahid dunia akhirat
3. Bukan yang ditayammumkan (tayammum kerana khuatir isi relai dari tubuh jika guna air - kes jasad hancur / terbakar teruk)

ALATAN MANDI YANG SESUAI

- tempat mandi sesuai.. sebaiknya yang khusus untuk memandikan jenazah
- air mutlak, daun bidara, sabun yang boleh membersihkan najis, kapur barus, serbuk cendana, air mawar, limau nipis (cara tradisi hilangkan bau / mencuci, namun harus berhati-hati kerana ia bersifat memedihkan terutamanya pada mayat berluka - jangan guna)
- sarung tangan, kain putih (untuk memeriksa kebersihan bahagian sulit)
- penutup mulut, apron, kain basahan, kain gantian, *clorox* (*untuk pesakit HIV)

CARA MEMANDIKAN JENAZAH

1. Baringkan jenazah terlentang di tempat mandi, menghadap qiblat, dan di tempat tertutup (beratap di atas). Pastikan aurat jenazah terjaga.
2. Basahkan seluruh badan jenazah
3. Buang najis qubul & dubur (pakai sarung tangan, jangan sesekali menyentuh kulit ke kulit)
- cara basuh di situ : melalui bawah kain yang menutupnya (jangan tengok) & basuh seperti kita basuh sesudah 'melepaskan hajat', jangan sampai ke dalam (kecuali di faraj bagi wanita yang sudah berkahwin), urut di bahagian kiri perutnya untuk mengeluarkan baki najis yang tertinggal
- uji guna kain putih / kafan lebihan (yang dijadikan sarung tangan) di bahagian sulit tersebut sehingga tiada warna ain yang menunjukkan najis masih ada).
- Bagi jenazah yang ada masalah di mana najis berterusan keluar walau sudah dalam 10 minit proses membasuh, biarkan dahulu & teruskan membasuh anggota lain. Jika check semula selepas itu & masih ada kesan, sumbat dengan kapas (mengelakkan najis keluar ketika mahu mengkapan)
- jika semasa menyentuh bahagian sulit jenazah (proses membasuh) & terasa ada kemusykilan, dibenarkan untuk melihat & membuat keputusan segera (contoh kes : terdapat daging lebih / lain dari biasa)
4. Sabun seluruh badan jenazah & buang kotoran (elakkan menyabun tempat-tempat terbuka yang menyebabkan rasa pedih seperti di mata). sebaiknya mulakan menyabun bahagian kanan badan dahulu.
5. Jirus dengan air mutlak, penuh adab + berlembut (jangan berkasar, kerana walaupun tiada roh, ia masih merasai malu & sakit kesan dari sakaratul maut yang tak terperi sakitnya)
6. Bersihkan rongga terbuka seperti telinga, hidung & gigi menggunakan putik kapas
7. Setelah selesai, sunat untuk mewudhu'kannya dengan niat "Sahaja aku mewudhu'kan ke atas mayat ini kerana Allah ta'ala"
* di bahagian yang tidak sampai air, tayammumkan bahagian itu
8. Tutupkan dengan kain nipis, kemudian siramkan dengan air larutan kapur barus

Ringkasan step ;
1. Sabun - +limau nipis / daun bidara
2. Bilas - air mutlak
3. Air kapur barus & cendana

*sunat mengulang proses mandi ; 3x / 5x / 7x / 9x.. tapi biasa orang tak buat (rumit & banyak proses)

PERALATAN KAFAN

1. Kain putih (bidang 45") > dikerat kepada 3 bahagian utama
2. Tali 5 utas -overall dalam 4 depa, potong setiap depa, salah satu dipotong lagi 2 bahagian (pendek)-(2 pendek : 1 di kepala & 1 di kaki, 3 panjang untuk badan) yang diambil dari lebihan kain kafan tadi (carikkan)
3. Kapas 2 gulung

PROSES MENYEDIAKAN KAFAN


(kumpulan muslimin dipisahkan dengan kumpulan muslimat untuk amali ini, jadi catatan di sini lebih kepada pengurusan jenazah kaum muslimat.. kerana aku bukan muslimin~ eh tetiba lak. Tapi basicnya lebih kurang je, tang bahagian lapis-lapis & pakaian tu yang lain.. no worries k. jangan tetiba pakaikan telekung untuk jenazah lelaki udoh le > refer perenggan merah untuk panduan antara jantina)
(bahagian ini juga sudah digabungkan dengan catatan pada waktu amali - mudah untuk dirujuk)

1. Ukur panjang jenazah menggunakan tali kafan yang belum dipotong, lebihkan sehasta
2. Ukur panjang ukuran tadi pada kain kafan untuk dipotong menjadi 3 bahagian & seterusnya dipotong lagi mengikut bahagian tertentu (khususnya jenazah perempuan)

* Lelaki (L) & perempuan (P) - paling kurang 1 lapisan
sunat L - 3 lapis (cara Rasulullah s.a.w)
sunat P = 5 lapis (2 kain penutup semua, 1 kain [2 lipatan tali ukur badan], 1 baju, 1 telekung [3 lipatan tali ukur badan] )
Harus L = 5 lapis (3 yang sunat + 1 serban + 1 jubah)

3. Bentang tikar (untuk mudahkan proses pengalihan keseluruhan - tetapkan ikut qiblat terus - mudah)
4. Susunkan tali yang telah dipotong 5 tadi
5. Letakkan lapisan pertama kain di atas susunan tali
6. Taburkan serbuk cendana & kapur barus
7. Letakkan lapisan kedua kain tepat diatas lapisan pertama & ulang proses 6
8. Letakkan telekung > kemudian baju (lapisan atas dibuka keluar - senang nak sarung pada kepala jenazah bila jenazah dah diletakkan) > kain (paras pinggang hingga kaki)
9. Letakkan kapas 2 papan (sebelah menyebelah) yang setiap satu panjangnya dalam 2 kaki setengah diletakkan di bahagian tengah kain (untuk alas mayat)
10. Ulang proses 6
11. Letak 'lampin' (cawat yang dibuat menggunakan lebihan kain kafan & kapas di dalamnya) khususnya bagi jenazah yang bermasalah tadi
12. *jenazah siap dimandikan & ditukar pakaian mandi dengan kafan kering (kain tutup aurat - dan sebagai 'pengelap' lembapan selepas mandi)* Jenazah diusung ke tempat kafan yang disediakan (seeloknya didahulukan kepala)
13. Jenazah dibungkus satu persatu lapisan. Setiap lapisan diperkemaskan
14. Sebelum setiap bahagian diperkemaskan di tempat tertentu, lebihan kapas diletakkan di bahagian bawah dagu, kepala & sedikit dahi, tapak tangan dan kaki (sunat letak kapas di anggota sujud)
15. Setelah dibungkus dengan 2 lapisan terakhir (tinggalkan bahagian muka dibuka agar kaum kerabat si mati boleh beri penghormatan terakhir padanya), ikatkan satu persatu dengan kemas ('bunga' ikatan berada di bahagian kiri jenazah, jangan disimpul mati kerana tali itu akan dibuka semula setelah jenazah diletakkan di dalam liang lahad - cukup sekadar mengikat agar kafan tidak terbuka ketika mengusung jenazah ke kuburan). bahagian kepala dan kaki diikat secara 'pocong'.

-OK, kini kembali pada nota ceramah yang di'skip' tadi-

RUKUN SOLAT JENAZAH

- berdiri betul - niat - 4 kali takbir
- bacaan :
Selepas takbir 1 = Al-Fatihah
Selepas takbir 2 = selawat atas nabi (paling mudah : "Allaahumma-solli'ala Muhammad")
Selepas takbir 3 = Do'a (umum : "Allaahummaghfirlahu, warhamhu, wa'afini wa'fu-anhu")
Selepas takbir 4 = Salam (biasanya Imam akan bacakan do'a tambahan sebelum salam)
- sekurang-kurangnya 1 saf 2 orang.. Seeloknya ada 3 saf

KEDUDUKAN IMAM KETIKA SOLAT JENAZAH


Penjelasan :
Jenazah lelaki - kepala jenazah berada di sebelah kiri Imam
Jenazah perempuan - Imam bersetentangan dengan pinggang jenazah

JENIS-JENIS KUBUR

pandangan keratan rentas jenis kubur (menghadap kepala jenazah)

- ketika hendak mengusung jenazah ke dalam kubur, dahulukan bahagian kepala
- setelah meletakkan jenazah di dalam liang lahad, WAJIB mengiringkan jenazah ke arah kiblat (ke kanan) & wajahnya menyentuh dinding tanah, namun tidak wajib jika jasad itu sudah hancur.
- Letakkan ketulan tanah (sebagai sendal) pada bahagian belakang badan jenazah jika badan terbalik selepas dimiringkan
- 'bantalkan' kepala jenazah dengan ketulan tanah
- WAJIB tutup liang lahad sesudah itu dengan papan
- setelah menimbuskan liang lahad, sunat meninggikan timbunan tanah sebanyak sejengkal dari permukaan tanah
- sunat duduk sebentar di kuburan > berdoa pada si mati (talkin)

**seusai penerangan, sesi soaljawab bermula. Antara yang diutarakan;

HUKUM & PANDANGAN MENGENAI HIASAN KUBUR


---------------------------------
Kursus berakhir dalam 4.30 petang.. Alhamdulillah..banyak input yang diperoleh terutamanya sewaktu praktikal.. moga sama-sama dapat manfaatkan ilmu yang dipelajari. Bagi yang belum pernah menyertai kursus pengurusan jenazah, anda digalakkan menyertainya bila ada peluang, tak rugi :)

Lepas ni pergi kursus kahwin pula~ hee [perasan dah ada calon] (err.. nak join masa tahun 3 nanti la.. InsyaAllah jika masih diberi peluang.. waktu ni rasanya belum ada keperluan untuk itu, diri ini masih belum 'layak'~ silap-silap ajal datang menjemput dahulu kan.. Wallahu-a'lam)

"Dan (tiap-tiap) makluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu suatu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur." ~Surah Ali-'Imran, Ayat 145~

-Selamat beramal-


16 January 2011

Yang Terbuku di Hati~

No comments:
Menyinggah kembali blog sendiri..
menyedari post terakhir adalah pada 1 Januari..
hari ini berapa haribulan? oh, dah 16 Januari..
pantasnya.. terasa baru sahaja memasuki tahun baru..
apakah masa yang pantas berlalu, atau aku yang lambat mengejarnya..?
[Ya Allah, aku tidak mahu kufur nikmat yang diberi percuma ini..]

mengenai update, aku memang bukan jenis yang rajin..
perlu menguruskan yang lebih utama..
+ dilanda gelombang perasaan yang mengacau fikiran..
Na'uzubillah, mohon dijauhkan dari gangguan syaitan yang tak pernah henti berusaha menggundah-gulanakan perasaan manusia.. [oh ayat apakah ini..]

Inipun sedang menyelesaikan amali..
sambung menulis bila merasakan mata sudah berpijar menghadap peta..
Sejak bermulanya semester ini,
kebanyakan masanya aku berada di bangunan Geologi.. dalam 80% gitu..
pergi kuliah dari pagi, dan kembali ke kolej pada lewat petang..
begitulah rutin terkini, setiap hari, setiap minggu..
kenapa?

Nak kata berderet kuliah tak henti pun tidak..
nak kata tiada gap pun bukan..
namun begitulah hidupku kini, mungkin rakan-rakan se-Geologi pun merasakan yang sama..
perlu menyelesaikan tuntutan amali yang memakan masa..
setiap hari ada amali pada petangnya, dari 2-5 pm,
dan hari Selasa + Rabu ditambah kelas Sejarah & Falsafah Sains selepas waktu amali..
Selasa habis pukul 6.. Rabu habis pukul 7.. Allah.. memang 'masak' otak..
maka waktu rehat kami ialah waktu solat & makan di FST..
di surau FST, ya Rabbi, ramai yang amat.. mungkin kos lain pun banyak kelas petang..
waktu gap pula diisi dengan menyambung kerja amali,
kadang kelas bermula lambat, tapi diusahakan seawal mungkin untuk ke sana, sambung amali setakat boleh sebelum kelas bermula..
kerana kekangan masa & kekurangan bahan / alatan..
maklumlah, batch ini ramai, tak macam dulu..
kalau bangunan & makmal tak ada orang jaga, dah lama aku nak bermalam di situ.. huu..

Selain itu, pandanganku terhadap pointer beransur-ansur rendah..
kecemerlangan hakiki tidak bergantung pada itu sahaja..
itu bukan matlamat / tujuan, itu hanya pencapaian berkala..
tambahan pula dengan sistem pemarkahan yang kurang teratur pada waktu kini..
ada kuliah tertentu yang membuatkan aku mula menyedari yang tidak semua akan mendapat peluang yang sama & suasananya agak prejudis...
boleh jadi sesuatu pujian menjadi pemangkin semangat, boleh jadi pula pelemah semangat bagi sesetengahnya..
*yang penting ambilnya secara positif.. jangan lawan, jangan layan, tetapi fokus pada usaha.. serahkan ketentuan padaNya
aku dapat merasai bahang tekanan dalam suasana belajar yang hanya untuk mendapat pointer tinggi (walau basicnya memang kena faham)..
sedangkan menuntut ilmu adalah sepanjang hayat, untuk memartabat umat Islam, untuk diaplikasi, untuk difahami, bukan menghafal macam robot! (uh~ agak tertekan apabila otak diasak berdasarkan pembacaan direct, bukan pemahaman =_=)..
jika mahu diam sekalipun, pastikan diam itu diam yang berisi (tahu tapi tak mahu menunjuk)..
bukan diam-diam besi berkarat...

Baru 2 minggu menghadapi keadaan sebegini.. apakah sudah mahu berpaling? oh tidak.. masih banyak yang bakal menanti untuk digalas.. be strong!
Meskipun begitu, dalam pahit ada manisnya..
lebih banyak masa aku dapat bersama rakan-rakan seperjuangan..
sambil buat amali, sambil berbincang masalah, sambil rehat antara kelas, sambil menunggu giliran buat amali..
interaksi antara rakan-rakan, serta gurauan antara mereka yang mencuit hati..
itulah yang menjadi pengubat duka, selain mengingatiNya yang utama..

Indahnya Ukhwah Fillah ~:_)

Melewati kesepian, teringat sahabat-sahabat lama yang sudah jarang kelihatan..
program pun tidak banyak yang aku dapat turut serta..
di kolej pun serupa... jika akan ada pun, belum tentu aku dapat pergi, melainkan dengan tenaga yang berbaki..
jika ada persoalan / perbualan pun, aku akan cuba ketika cuti semester sahaja..
tidak mahu mengganggu.. apatah lagi melibatkan perasaan..
Iyalah, mereka pun semakin banyak tugas & tanggungjawab juga..
apatah lagi tugas dengan masyarakat & dakwah yang memerlukan komitmen tinggi..
salute la.. dari kejauhan aku hanya dapat menitip doa..
melihatkan kemajuan mereka pun sudah cukup untuk membuatkan aku tersenyum & bahagia..
namun terus terang.. dalam kesibukan waktu, aku tetap tidak dapat melupuskan rasa RINDU..
rindu sahabat & temanku..

Rasanya cukup setakat itu..
sekurang-kurangnya dapat juga melegakan rasa terpendam di jiwa ini..
sememangnya selagi hidup kita tidak dapat lari dari masalah..
kita mesti menyelesaikannya atau hadapi dengan cara yang baik..
sungguh..
kesedihan /' emo melampau hanya akan mengundang penyakit & tidak memajukan..
penat berhujan air mata hampir setiap malam.. akhirnya rosak mood sendiri untuk belajar..
oh agak sia-sia.. [sikit-sikit takpe lagi, lumrah untuk melepaskan tekanan..hu~]

"Ketahuilah dengan "zikrullah" (mengingati Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia"

Ku mahu hadapi hidup ini dengan kebahagiaan..
kebahagiaan itu tak semestinya perkara baik yang berlaku untuk diri sendiri..
melihatkan rakan, sahabat & teman pun dapat membuahkan kebahagiaan..
Kebahagiaan dari ikatan kekeluargaan, berkongsi rasa dengan ibu bapa..
Kebahagiaan dalam mempelajari ilmu dunia & akhirat..
Kebahagiaan dalam menghadapi pelbagai jenis insan..
dan yang utamanya kebahagiaan merasai nikmat Iman, melihat keindahan ciptaan Allah, seisi alam ini..
betapa indahnya ukhwah yang dikurniakan olehNya apabila menghadapi kesukaran / kesenangan bersama cara hidup Islam.. dan.. ku sedari, adalah satu kesalahanku untuk melupakan kenangan lalu.. yang memang kini sentiasa terpatri indah, hingga ke akhir hayatku..

>>Hok molek kito ambik, hok kelodok kito tehok.. amek iktibaa deh~! ['kecek' jap]
~bahasa mudah : buang yang keruh, ambil yang jernih.. ambil iktibar dari yang lalu~

moga tabah & dipermudahkan menghadapi hidup ini.. wahai diri & para pembaca sekalian... InsyaAllah.. ku mohon ampun & maaf

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." ~Surah At-Taghabun, Ayat 11~


01 January 2011

Pengalaman Pembuka 2011M

No comments:
"Alhamdulillah.." terlafaz ungkapan yang mempunyai pelbagai erti, tanda kesyukuran yang tak terhingga di atas segala kurniaan-Nya..

31 Disember 2010..

Bermulanya sebuah kembara diri ini untuk bersama jemaah & masyarakat dalam XPDC Dakwah (di bawah anjuran GAMIS)..
Sebelum ini langsung tidak berkesempatan untuk turut serta, hanya mampu memberi sokongan & do'a dari jauh..
Dengan waktu & kesihatan kurniaanNya, kali ini ku sahut seruan tersebut dari makluman senior tersayang.. kak Aida~
Seusai waktu asar, para muslimat berkumpul di masjid UKM untuk bergerak bersama, kebanyakannya menaiki Komuter & LRT..
Para muslimin sudahpun bergerak dengan kenderaan sendiri..
Perjalanan ini memakan masa, solat Maghrib & Isya' di KL Sentral..
ketika sampai di Masjid Asy-Syakirin KLCC, forum sudahpun bermula & ramai orang sudah memenuhi ruang hadapan..

Masjid Asy-Syakirin (KLCC) di malam hari (sumber gambar dari google)

Terkaget sebentar melihat panel-panel kegemaran sedang memberi ceramah di depan mata..
pasti sudah banyak yang ketinggalan, namun bersyukur masih sempat mengambil sedikit sebanyak poin-poin bermanfaat.

Panel : dari kiri 1.*Maaf tak tahu nama beliau, 2.Ustaz M. Fauzi Mustaffa, 3.Ustaz Hj. Dzulkarnain Hamzah (sumber gambar: K.Aida)

Antara yang sempat disalin (maaf tidak lengkap, berkongsi yang mana ada);

# Apa yang perlu direbut ketika masih bernyawa ini?
>> Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara

# Konsep Islam : Hari ini lebih baik dari semalam
>> maksudnya, 'azam' bukanlah bererti memperbaharui diri pada setiap tahun sahaja, tetapi mulakanlah dengan memperbaharui diri setiap hari.. Perubahan tidak semestinya memerlukan 'anjakan' yang besar, tetapi istiqamahlah dalam setiap perubahan positif biarpun dalam hal-hal kecil

# Gunakan peluang ketika sihat ini dengan mencari redha Allah, pastikan yang utama didahulukan.
* Kekuatan sesuatu perjuangan terletak pada bahu yang memikul.. tidak semuanya sama cara perjuangannya
# Iktikad;
1. Tauhid Rububiyyah - Membenarkan & menerima kewujudan Allah, yang mencipta segala sesuatu
2. Tauhid Uluhiyyah - Melaksanakan dengan syariat Allah sama ada dari sudut hubungan sesama manusia & hubungan dengan Allah
3. Tauhid Asma'ulhusna

# Melukis pada badan > hukumnya haram (tidak kira sama ada menggunakan inai ataupun bahan lain)

# Perbaharui SIKAP
S = SUPERVISION (matlamat yang hendak dicapai)
I = INTEREST (kesungguhan dalam berjihad)
K = KNOWLEDGE (gantunglah azam tinggi melangit, namun jangan lupa mutiara di lautan)

Antara kata-kata hikmat berkaitan Ilmu ;
**Orang yang berilmu boleh mencari harta, tetapi belum tentu orang berharta boleh mencari ilmu**
**Kita yang perlu menjaga harta, namun Ilmu yang akan menjaga kita**
**Orang berilmu ramai sahabat, Orang berharta banyak musuh**
**Ilmu tidak memerlukan bekas, manakala harta memerlukan bekas / tempat untuk menyimpannya**

A = ACTION (bertindaklah bersungguh-sungguh = tekad)
P = PROCEDURE (ikut peraturan, hukum-hukum & prasyarat)

> Apa Prasyaratnya? <
1. Musyarakah (akujanji) = ingatlah sentiasa bahawa kita ini hambaNya, bukan seorang pe'makan gaji'
2. Muraqabah - rasa diperhatikan Allah & merasakan kebersamaanNya di kala sepi mahupun ramai
3. Muhasabah (untuk diri sendiri) = mengamalkan ilmu (barulah ilmu yang kita ada itu berkualiti)
4. Mu'aqabah (rasa mengajar diri sendiri) = Manusia akan berubah sedikit demi sedikit
5. Mujahadah = Memerangi hawa nafsu yang tidak elok (ukur baju di badan sendiri terlebih dahulu)
6. Mu'aqalah = Tegas pada diri sendiri..

Belum sempat habis forum, kami dipanggil naik ke tingkat atas masjid untuk sesi taklimat gerak kerja dakwah..
taklimat kurang didengari kerana jumlah kami yang ramai + suasana bising + 'sound system' yang terhad..

Kami dibahagikan kepada kumpulan tertentu yang secara puratanya ada 5 muslimat & 5 mulimin dalam 1 kumpulan.. kemudian kami dibekalkan dengan risalah untuk diedarkan pada masyarakat..

Ketika hendak turun dari masjid, kedengaran bunyi letupan bunga api yang menggegarkan sanubari (mana tak kuat, sebelah itu sahaja KLCC), menandakan sudah masuk waktu 12AM tahun 2011M..

Kami menunggu semua turun di bawah & ketika itu bunga api bertalu-talu memecah ruang udara.. bukan perasaan teruja yang timbul dalam diri ini tapi sebaliknya perasaan gementar yang menyelinap.. terbayang-banyang suasana di Palestin yang dilimpahi 'bunga api' zionis yang menimpa mereka.. dengan bunyi yang lebih kuat & sasaran 'bunga api' itu ialah khusus untuk memusnahkan manusia.. Allah.. cukuplah dengan pembaziran ini..

Sebelum bergerak, kami berkumpul lagi sekali untuk berdoa & melaungkan kata-kata semangat..
Dalam kumpulan, kami berpecah kepana unit yang lebih kecil untuk melancarkan gerakan & akan berkumpul setempat mengikut checkpoint yang ditetapkan ketua kumpulan.

---jentera pun melaksanakan tugasnya---

Sepanjang perjalanan, terlalu banyak masalah sosial yang diperhatikan.. tidak mampu diungkap oleh kata-kata.. banyaknya seiring jumlah sampah yang bertaburan di situ.. terasa seolah-olah bukan di negara sendiri yang kononnya Islami.. Allah, selamatkanlah umat ini.. moga mereka masih diberi kesempatan untuk bertaubat & berubah.. (diri ini pun banyak yang perlu diperbaiki..)

Selain memberikan risalah, kami cuba untuk berbual & berbincang bersama.. Agak sukar untuk melakukan sedemikian melainkan mereka yang sedang berehat.. Itupun memerlukan mujahadah yang tinggi untuk mendekati.. nak-nak bagi jentera muslimat kerana dari jauh mereka dah nampak 'pakaian' kami yang tak seperti mereka.. bagi muslimin ada yang menukar penampilan agar mudah mendekati & didekati..

Seusai kawasan taman KLCC, kami bergerak ke 'level' seterusnya ; Bukit Bintang!
Boleh dikatakan pusat maksiat di malam hari.. Allah, sangat mencabar kekuatan diri..
di sini setiap unit kecil diiring paling kurang 2 muslimin, khuatir jika berlaku apa-apa yang tidak diingini.

Di suatu lokasi, kami menyaksikan sebuah kumpulan besar yang sedang bersorak. Mungkin ada tarian breakdance di tengah-tengahnya (tidak nampak sebab ramai sangat). Beberapa ahli kami sempat 'menemuramah' seorang dua remaja yang turut berkumpul di situ. Sebelum kami bergerak pergi, mereka terlebih dahulu bersurai setelah pihak keselamatan memberi arahan.

Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi.. sungguh, berada di sana seperti suasananya baru 9 malam.. Benar-benar seperti di sebuah dunia lain. Tidak hairanlah ramai yang leka berpesta, hanyut dalam buaian fantasi.

Dalam pukul 3 pagi kami harus berkumpul semula di masjid untuk qiamullail berjemaah. Asap rokok sudah menepu di rongga tekak, wajah sudah berdebu dengan jerebu maksiat. Mata sudah kelam dengan kotoran akhlak & sampah. Setelah cukup ahli pasukan, tiba masanya untuk kami bergerak kembali ke masjid, mengembalikan semula ketenangan yang dicalar kejutan budaya. Mendengarkan alunan syahdu zikir dari Ustaz Dzulkarnain, bagaikan dihembus angin yang dingin di tengah padang pasir yang kontang. Tiada yang lebih indah dari saat merasai kebesaran Ilah.. Subhanallah.. lebih indah jika kita dapat berkongsi kebahagiaan ini bersama yang lain.. Moga kita terus istiqamah di jalan perjuangan ini, dengan kekuatan & izin-Nya..

Selesai subuh berjemaah, ada sedikit pengisian oleh Ustaz Dzulkarnain. Dalam pukul 7.30 lebih, kami bergerak ke stesen LRT untuk ke program berikutnya : Himpunan Mahasiswa untuk Malaysia 1111 (HMM 1111) di padang MBPJ..

Di situ ku bertemu dengan 'ketenangan' yang sudah lama tidak ku temui; sahabat di kampusku yang bernama Nur Sakinah Mohamad. Asalnya bercadang untuk sekali berXPDC Dakwah, namun beliau ada perjuangan tersendiri untuk diselesaikan di kampus pada malam itu. Ya, tugas yang utama perlu didahulukan. Walau sekampus, agak sukar untuk kami bertemu melainkan dalam program-program berkonsepkan jemaah. Secara keseluruhannya aku bahagia berada bersama jemaah, dapat bertaaruf dengan kenalan baru & mengeratkan hubungan dengan kenalan sedia ada.

Secara ringkasnya, program dimulakan dengan acara senaman ringan beramai-ramai di mana muslimin ditempatkan di hadapan muslimat. Selepas itu aktiviti diteruskan dengan mewarna banner. Seusai perasmian oleh wakil Dato' Saifuddin Abdullah, pidato disampaikan oleh beberapa pimpinan persatuan mahasiswa. Ikon mahasiswa 2010 disandang oleh saudara Shazni Munir, presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Pengisytiharan deklarasi pula telah disambut baik oleh semua hadirin. Program diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku serta laungan keramat mahasiswa & ucapan ringkas dari presiden GAMIS. Alhamdulillah, sedikit sebanyak mendapat input yang membuka minda mengenai perjuangan mahasiswa yang diusahakan.

Info lanjut mengenai himpunan ini : [Link]

Program berakhir dalam pukul 12.30 tengahari.
kembali pulang ke UKM menaiki LRT dan komuter, tiba dalam 2 jam kemudian..
sewaktu dalam perjalanan pulang, baru terasa kesan tidak tidur semalaman..
sambil berdiri dalam komuter pun boleh terlelap penuh style~ ;)
tetapi sewaktu sedang beroperasi langsung tidak mengantuk..
semangat nak merasa pengalaman agaknya..
ku sedari masih banyak yang perlu dipelajari..
terasa sungguh kerdil jika dibandingkan dengan rakan-rakan sejemaah yang hebat-hebat belaka..

Dalam pejam celik lelap yang tak lena, terlihat pemandangan luar yang membuka mata..
Subhanallah.. ada susunan awan yang cantik bagiku.. kalau diperhatikan, di dasar setiap kepulan awan itu rata.. comel~ apalagi, terus dicapai kamera yang terhibernasi dalam beg & 'snap' (sepanjang program takde pulak nak ambil gambar ya.. --")

Kepulan awan..

Akhir kalam, moga semangat untuk membangunkan ummah selaras dengan Islam tidak terhenti setakat itu sahaja & dapat disalurkan melalui prestasi akademik > ke arah kebangkitan pakar-pakar (Ilmuwan) Islam. Mahasiswa / pekerja cemerlang perlu menguasai 3 faktor secara bersepadu; sikap (merangkumi akhlak), kemahiran, & ilmu. Mari bersama menjadi mukmin profesional, yang unggul perilaku & hasil kerjanya.. :)

Muhasabah buat diri..

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan jangalah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sunguh-sunguh) beriman." ~Surah Ali-'Imran, Ayat 139~